Konsep Takaful

Takaful merupakan salah satu konsep insurans yang berasaskan Muamalat Islam dan berlandaskan hukum Syarak. Konsep ini sebenarnya telahpun diamalkan sejak lebih 1,400 tahun yang lalu.

Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan kepada konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan perlindungan dan saling membantu dikalangan para pesertanya. Ianya juga dilihat sebagai memberi penekanan kepada semangat kerjasama dan tanggungjawab sesama peserta. Dalam erti kata lain, sistem Takaful merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukannya.

Melalui semangat kerjasama dan tanggungjawab yang wujud sesama peserta ini, maka amalan menyumbang dan membuat kebajikan ini menyediakan peluang kepada setiap peserta untuk mendapat manfaat dalam bentuk jaminan kewangan serta mendapat manfaat dari segi rohaniah dalam memenuhi tanggungjawab sosial yang dituntut oleh agama, melalui konsep yang diamalkan, iaitu kaedah Tabarru’. Kesimpulannya, sistem Takaful ini tidak hanya memberi manfaat kepada orang Islam sahaja, sebaliknya sistem ini turut memberi kebaikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan agama yang mereka bawa.

Meskipun konsep yang dibawa insurans konvensional itu baik, namun terdapat beberapa amalannya yang bercanggah dengan Syariah. Selaras dengan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-16 bertarikh 15 – 16 Februari 1979 memutuskan bahawa Insurans Nyawa adalah haram kerana ia mengandungi unsur:-

a) Gharar (tidak pasti)

b) Judi (Maisir)

c) Muamalah Riba

Rujuk http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/insurans-0